Monday, May 15, 2017

Cara Saya Menjaga Wajah

Sangat rare topik saya kali ini. Mungkin ada yang tersenyum simpul sebab topik yang dinanti-nantikan akhirnya tiba hehe. Sebenarnya sejak zaman universiti lagi, saya menerima personal messages di Facebook dan Instagram bertanyakan tentang produk yang saya gunakan untuk kulit. Mungkin ada yang suka mengikuti perkembangan saya akan perasan perubahan kulit saya dulu dan sekarang. Jadi akhirnya saya kongsikan teknik penjagaan wajah saya untuk entri kali ini.

Saya rasa mesti ramai yang berkerut dahi bila saya sebut kulit saya dulu jenis berjerawat bukan? Mungkin sebab saya mahir dalam bidang editing dan orang tak perasan jerawat pada kulit saya. Untuk lebih adil, saya kongsikan gambar-gambar lama saya dulu ketika kulit masih berjerawat.

Bismillah...
Jangan terkejut haha.


Tahun 2010 jerawat banyak tertumpu di bahagian dahi


Sebelum saya teruskan, saya ingin memohon maaf sekiranya ada yang membanding-bandingkan jerawat saya atau terfikir jerawat saya ini tak seteruk mana pun. Sebenarnya, teruk atau tak, situasi yang kita alami tetap sama. Jerawat besar atau kecil tetap akan menganggu tahap keyakinan diri kita. Betul?

Tahun 2010 memang tahun yang menakutkan bagi saya. Kurang yakin nak berhadapan dengan orang sebab risau jerawat menjadi perhatian orang. Saya lebih selesa dan yakin berada di hadapan kamera sebab gambar boleh edit tapi realiti tak haha. Kalau nak keluar pun terpaksa cover dengan foundation.


Tahun 2012 kulit masih berjerawat dan semakin kusam

Saya mulai faham jenis kulit saya ketika berada di Tingkatan 4 (tahun 2008). Produk pertama yang saya gunakan berkesan merawat masalah jerawat saya ialah Skin Food. Pakar perunding Skin Food sempat menjelaskan pada saya tentang jenis kulit saya dan apakah punca timbulnya jerawat. Berbulan-bulan jugalah saya guna produk ini sebab sangat membantu. Tapi tak lama selepas itu Skin Food tutup dan bekalan saya pun terhenti di situ. Sedih sangat.

Tahun 2010 (dua gambar teratas) menunjukkan jerawat saya semakin bermaharaja lela di bahagian dahi. Nasib baik boyfriend duduk jauh. Long distance relationship menyelamatkan saya dari stress yang berlebihan pada ketika ini haha. Siapalah tak nak jumpa kekasih hati dalam keadaan flawless kan? Tapi bonus kalau kekasih hati boleh menerima kita seadanya. Jangan lepaskan dia! Hihi.

Baiklah, sambung semula cerita. Beberapa tahun kulit saya hidup dalam kegelapan, kusam dan tak bermaya. Tahun 2012 memang kemuncak ke-kusam-an kulit sebab pada tahun tersebut saya duduk di Australia dan cuacanya sangat mencabar kulit saya.

Tapi tak lama selepas itu...


Tahun 2013 kulit semakin cerah dan tak berjerawat lagi 

Semakin yakin memakai tudung berwarna lembut dan terang HAHA

Tahun 2015 kulit semakin sihat kerana penjagaan luaran dan dalaman yang baik


Sebenarnya, antara akhir tahun 2012 dan awal tahun 2013, saya menggunakan sebuah produk dari luar negara. Nama produk apa saya tak nak sebut sebab risau menjadi kontroversi. Nak bagi hint, produk itu agak famous jugalah suatu ketika dulu. Tujuan utama saya menggunakan produk tersebut adalah untuk menghilangkan jerawat sebab sebelum produk itu menjadi viral saya difahamkan produk itu dapat menghilangkan jerawat. Tapi saya tak sangka kesannya lebih daripada sekadar menghilangkan jerawat.

Sekadar berkongsi pengalaman. Semasa di awal penggunaan produk tersebut, saya telah mengalami pengalaman yang sangat mengerikan bagi saya. Kulit saya mengalami pengelupasan yang teruk dan pedih yang teramat terutamanya bila memakai toner. Tapi saya teruskan juga sebab menurut penjual produk tersebut, kesan yang saya alami adalah normal kerana beliau turut mengalami kesan yang sama. 3 minggu saya tak berputus asa dan cekalkan hati untuk teruskan. Alhamdulillah memang betul apa yang beliau kata. Minggu seterusnya jerawat saya hilang dan saya dapat hasil ekstra daripada menggunakan produk tersebut. Balik saja saya ke Australia, ramai yang menegur perubahan kulit saya. Ada juga yang berkongsi pengalaman yang sebaliknya sehingga terpaksa berjumpa pakar kulit untuk mengatasi masalah kulit yang dialami akibat menggunakan produk tersebut. Ada yang mengalami pengelupasan yang teruk di seluruh wajah. Pengalaman mereka lebih mengerikan. Saya ingat lagi keadaan saya ketika itu. Saya terdiam dan menyebut syukur dengan sepenuh hati kerana kesan yang saya alami tak seteruk mereka yang lain. Tak tahulah bagaimana keadaan saya sekiranya saya yang mengalami situasi yang mereka alami. Saya tak tahu kesannya boleh jadi seteruk itu. Sebenarnya, salah satu sebab saya mengelak untuk menjawab soalan yang saya terima di personal messages di Facebook tentang produk yang saya gunakan untuk kulit adalah kerana pengalaman perit yang dialami diri sendiri dan orang lain. Saya sedar kesan penggunaan produk ini adalah berbeza bagi setiap individu maka saya elakkan diri untuk menjawab. Hasil daripada pengalaman saya dan isu viral berkaitan produk tersebut membuatkan saya semakin yakin untuk berdiam diri daripada menjawab soalan-soalan berkenaan dengan produk kulit. Saya sendiri pun tak pasti jika produk tersebut selamat untuk digunakan.

Saya teruskan juga menggunakan produk tersebut selama beberapa tahun sehinggalah saya membuat keputusan untuk menukar produk. Itu pun kerana saya membaca terlalu ramai yang mengalami komplikasi pada kulit setelah menggunakan produk seperti yang saya gunakan. Pengajaran yang saya boleh kongsikan dari pengalaman ini ialah jadikan kulit yang sihat sebagai aim kita. Putih atau tak, itu semua boleh diusahakan dengan cara lain. Tak perlu gunakan cara yang akan memberi impak pada kulit kita di hari tua. Hitam manis pun tak apa, yang penting kulit sihat. Setiap manusia itu ada kecantikan yang tersendiri bukan?

Seterusnya, saya kongsikan bagaimana saya menjaga kulit wajah setiap hari. Pertama ialah dari segi pemilihan produk. Untuk kita ketahui produk yang sesuai dengan kulit kita, kita terlebih dahulu perlu membuat research tentang kulit kita. Sesetengah orang memiliki kulit yang normal, ada yang berminyak, ada juga yang kering, dan ada juga yang memiliki combination skin. Kalau nak tahu apa ciri-ciri kulit normal, berminyak, kering dan sebagainya bolehlah guna perkhidmatan Google. Once dah kenalpasti jenis kulit, baru senang nak pilih produk yang bersesuaian.

Cara penjagaan wajah:

Waktu Siang
Saya akan menggunakan pencuci muka terlebih dahulu. Setelah selesai, saya akan menggunakan toner dan moisturiser. Untuk pelembap, pilih yang mempunyai SPF untuk membantu melindungi kulit dari sinaran UV. Tujuan utama ialah untuk mengelakkan timbulnya jeragat di kemudian hari. Kemudian saya akan gunakan Seri 7 Anggun sebagai face mist saya. Seri 7 Anggun ini mempunyai pati bunga daisy yang boleh membantu mencerahkan kulit!

Waktu Malam
Ini adalah waktu yang memerlukan ekstra usaha. Setiap malam sebelum mencuci muka, saya akan gunakan cleansing oil terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk membuang kotoran minyak yang melekat pada permukaan kulit sepanjang hari. Kotoran minyak yang dibuang akan digantikan dengan minyak yang baik (daripada cleansing oil yang digunakan) untuk elakkan kulit menjadi kering. Setelah selesai menggunakan cleansing oil dan pencuci muka, saya akan menggunakan toner. Sepuluh saat selepas itu, saya akan apply serum pada kulit. Tujuannya ialah untuk merawat kulit sepanjang malam. Scrub muka pun penting untuk membuang sel kulit mati pada permukaan kulit. Gunakan sekali setiap seminggu pada waktu malam sebelum aktiviti membersihkan muka.

Kata kuncinya di sini ialah ketahui jenis kulit, pilih produk yang bersesuaian, dan gunakan teknik yang saya kongsikan di atas ini. Untuk dapatkan kulit yang sihat memerlukan ekstra usaha dan wang. Jangan kedekut! Pelaburan pada kulit itu penting kerana setiap wanita perlu belajar mencantikkan diri bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk tatapan suami atau bakal suami.

Insha'Allah di perkongsian seterusnya, saya akan kongsikan pula cara menjaga kesihatan kulit dari dalam berdasarkan pengalaman saya sendiri. Hopefully entri kali ini dapat memberi banyak manfaat kepada pembaca di luar sana! Jangan lupa share di Facebook anda.

Selamat malam.





No comments:

Post a Comment