Bagaimana Saya Mencipta Kejayaan

By Ieka Ahmad - 11:00:00 AM

Sebelum saya memiliki kejayaan yang ada sekarang, saya cumalah pelajar biasa yang bersekolah di sekolah biasa dan memiliki keputusan yang biasa-biasa saja. Ketika berada di tingkatan 4, saya pernah gagal hampir semua subjek dan pernah rasa berputus asa untuk meneruskan pengajian. Dulu saya bukanlah seorang yang suka keluar rumah dan menghabiskan masa di luar. Kebanyakan masa saya habiskan di rumah belajar tapi hasilnya tak pernah memuaskan. Kerana keputusan yang kurang cemerlang, saya pernah terfikir saya mungkin tak akan pernah capai apa yang saya impikan pada ketika itu dan impian tersebut ialah melanjutkan pengajian ke luar negara. Saya pernah mempersoalkan masa depan saya dan sejauh mana yang saya boleh pergi dalam hidup ini kerana pada masa itu fikiran saya skeptikal. Seperti anak-anak lain, saya terfikir kalau saya tak berjaya sambung belajar, macam mana saya nak dapat pekerjaan dan gaji yang selesa?

Tapi walau bagaimana teruk pun pencapaian ketika itu, tak pernah sehari saya putus daripada membayangkan impian saya. Setiap malam saya akan bayangkan saya berada di negara luar dan memakai coat putih pada musim sejuk. Saya juga akan bayangkan keadaan saya memakai jubah konvokesyen dan ibu bapa saya tersenyum bahagia. Saya akan bayangkan situasi itu seperti ianya sedang berlaku ditambah lagi dengan mainan musik yang memberi inspirasi kepada saya.


18 Disember 2014 saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Psikologi


Tahun 2014 menjadi saksi kepada pencapaian saya. Impian saya beberapa tahun yang lalu tercapai. Pada tahun tersebut saya berjaya menghabiskan pengajian dengan memakai jubah konvokesyen, sesuatu yang saya pernah ragui suatu ketika dulu. Pada tahun yang sama juga saya berjaya menurunkan berat badan dan memakai coat putih sepertimana yang saya impikan. Alhamdulillah.




Beberapa hari selepas majlis graduasi saya, saya berjaya mendaki Gunung Kinabalu. Ianya juga pernah menjadi persoalan saya suatu ketika dulu. Ketika di bangku sekolah, saya pernah diberitahu berkenaan dengan pelajar MRSM yang pernah mendaki Gunung Kinabalu. Saya merasa kagum membayangkan mereka yang masih remaja berjaya menawan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Saya pernah bertanya pada diri sendiri, bolehkah saya mendaki Gunung Kinabalu satu hari nanti? Sehinggalah pada pertengahan tahun 2014, saya mengambil keputusan untuk meneruskan impian saya tersebut dengan mengikuti ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu.

Selama tempoh hampir 6 bulan, saya banyak menghabiskan masa di Gym dan banyak melakukan aktiviti bersukan untuk meningkatkan stamina. Setiap kali berlari saya akan mendengar lagu yang membakar semangat saya dan membayangkan diri saya berada di atas puncak gunung. Walaupun saya masih tak tahu apakah penghujung kepada ekspidisi tersebut, tapi saya tak pernah berhenti dari membayangkan diri saya sudah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.


Disember 2014 saya berjaya graduate lagi sekali di atas puncak Gunung Kinabalu


Alhamdulillah Allah izinkan saya merasa melanjutkan pengajian di luar negara dan menamatkan pengajian saya sehingga ke peringkat Ijazah. Bukan itu sahaja, malah diberi rezeki untuk mendaki Gunung Kinabalu. Sebenarnya, saya sendiri tak sangka bahawa satu hari nanti apa yang saya impikan akan tercapai. Dulu saya pernah mempersoalkan tahap kemampuan diri saya, tapi bila Allah nak bagi rezeki, sampai ke Master saya diberi tawaran. Segala puji hanya bagi Allah.

Mesti ada yang tertanya-tanya apa yang saya dah lakukan sehingga berjaya mencipta kejayaan sebegini? Ayah saya pernah berkata bila kita dah berjaya, jangan biar diri sendiri menikmati kejayaan tersebut, kongsikan pada yang lain. Oleh itu, saya memilih untuk menulis kisah kejayaan saya dan berkongsi tips dan pengajaran kepada mereka yang rasa seolah-olah tiada harapan bagi diri untuk terus maju. Tips yang pertama ialah jangan tinggal solat. Bila solat, lakukannya seperti kita sedang berdating dengan Tuhan. Segala yang tersimpan di hati kita luahkan pada Dia. Sebutkan apa yang kita mahu pada Tuhan kerana Tuhan adalah sebaik-baik Pendengar. Ketika zaman belajar, saya banyak meluangkan masa dengan membaca Al-Quran dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Kadang saya sendiri rindu suasana tersebut. Bila rasa tertekan saya akan dirikan solat dengan serta merta. Perbaiki bacaan Al-Fatihah dan fahami maksudnya. Ia banyak membantu saya untuk lebih khusyuk ketika solat. Selain itu, ketika bersendirian pula perbanyakkan beristighfar. Salah satu kunci untuk rezeki yang luas ialah istighfar. Bila kita beristighfar, kita memohon ampun daripada Tuhan yang Maha Pengampun. Semakin banyak kita beristighfar, maka semakin mudah rezeki untuk menghampiri kita. Amalkan.

Seterusnya, amalkan konsep The Law of Attraction. Ramai yang tak tahu apa sebenarnya hukum tarikan? Bila dah dewasa, saya mulai faham sebenarnya sejak dibangku sekolah lagi saya sudah mengamalkan konsep ini. Hukum tarikan yang saya maksudkan ialah bayangan yang saya lakukan setiap kali sebelum tidur seperti yang saya ceritakan di awal entri ini tadi. Bila nak membuat visualisasi, lakukannya dengan penuh perasaan dan rasakan seolah-olah perkara tersebut sudah menjadi kenyataan. Ramai yang terus memandang serong bila orang Islam menyebut The Law of Attraction tetapi kenyataannya ialah ilmu mereka cetek dan yang menyedihkan ialah mereka tak mahu mengambil tahu malah terus melabel sesuatu dari barat sebagai ilmu yang terpesong. Bagi saya, segala jenis ilmu di dunia ini adalah milik Allah, datangnya dari Allah. Tetapi mana yang memesongkan aqidah jangan diikut. Mana yang dapat memperbaiki kualiti hidup kita, dalamilah.

Kejayaan tak akan boleh dipisahkan dengan hubungan baik dengan Tuhan. Dengan mendekatkan diri dengan-Nya membawa kita lebih hampir kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Bila rasa seperti seolah-olah masa depan tak cerah, jangan berputus asa. Yakin pada apa yang Tuhan mampu lakukan. Hari ini kita tak yakin tapi tunggu esok. Bila Tuhan nak tunjukkan kuasa-Nya, ketika itu baru kita akan sedar bahawa tempat pergantungan itu masih ada cuma kita saja yang kadang terlalu leka dengan dunia. Asyik bergantung pada diri sendiri sehingga lupa ada Tuhan yang lebih mampu memakbulkan doa dan impian kita. Jadi tips yang terakhir ialah tingkatkan keyakinan yang tinggi pada Tuhan.

Sebelum saya akhiri entri kali ini, saya doakan pembaca semua dipermudahkan urusan pengajian dan semoga apa yang dihajati akan tercapai. Untuk entri yang akan datang saya akan kongsikan tentang matlamat saya untuk beberapa tahun yang akan datang. Jadi nantikan bahagian kedua entri hari ini.

Kongsikan entri ini di Facebook sekiranya ia sangat bermanfaat!





  • Share:

You Might Also Like

0 comments