Monday, April 10, 2017

Perit dipanggil Giant

“Giant! Giant! Giant!”

______

Perit bunyinya. Ketika saya menaip pun saya masih dapat rasa perasaan yang pernah saya rasa suatu ketika dulu. Masih bermain-main di fikiran saya sehingga sekarang. Ada satu cerita yang saya tak pernah kongsi di mana-mana laman sosial saya. Tak ramai yang tahu kesedihan yang saya rasa, keperitan yang saya tanggung bertahun-tahun dan impak yang saya terima hasil daripada pengalaman hitam dalam hidup saya suatu ketika dulu.

Suatu ketika dulu merupakan kanak-kanak yang ceria
Saya berasal dari keluarga yang mempunyai dua bentuk fizikal yang berbeza. Sebelah ayah saya, kebanyakan mempunyai bentuk fizikal yang tinggi dan kurus. Manakala sebelah ibu saya, ahli keluarga kebanyakan mempunyai fizikal yang berbadan besar. Dan mungkin Allah sudah tentukan takdir saya menerima gen dari kedua-dua keluarga, maka saya membesar dengan tubuh badan yang tinggi. Tahun demi tahun, semakin saya membesar perubahan fizikal saya semakin ketara sehinggalah saya menjadi antara pelajar yang paling tinggi ketika tadika dan sekolah rendah dulu.

Emosi dibuli
Pada awalnya, saya tak tertekan dengan perbezaan fizikal saya. Bahkan saya menjalani kehidupan kanak-kanak saya dengan penuh ceria tanpa menghiraukan kata-kata orang sekeliling terhadap fizikal saya yang nampak matang berbanding usia.

“Macam indung jelama...”

Mungkin ada yang tak familiar dengan maksud indung jelama yang menggambarkan seseorang yang berusia muda tetapi memiliki susuk tubuh seperti wanita dewasa. Indung adalah bahasa Brunei yang bermaksud ibu. Panggilan ini adalah antara panggilan yang saya sering terima sejak saya kanak-kanak lagi. Kadang saya rindu ketika saya masih kecil dan tak mengerti apa maksud indung jelama. Bila ada yang berkata demikian, saya hanya tersenyum dan tak memahami apa yang dimaksudkan.

Tapi saya harus berpijak pada kenyataan bahawa dunia akan terus berputar dan kehidupan akan terus berjalan. Semakin saya membesar, saya mulai faham apa yang dimaksudkan dengan kata-kata indung jelama yang pernah disebutkan dulu. Dari kanak-kanak yang ceria, saya berubah menjadi pendiam. Semakin lama, saya semakin suka bersendiri hanya kerana ingin mengelak dari mendengar komen seperti itu. Saya teringat, dulu sebelum saya memahami maksud perkataan tersebut, saya gembira dan cinta pada diri saya. Membeli belah sempena raya itulah saat yang paling saya nanti-nantikan kerana saya dapat mencuba fesyen remaja terkini walaupun pada ketika itu saya baru berada di sekolah rendah.

Ketika saya berada di Tahun 4, saya mulai rasa tekanan yang amat dalam hidup saya ketika itu. Kawan-kawan lelaki akan mengejek saya dengan panggilan giant dan saya seringkali berada di barisan paling belakang. Keadaan bertambah tak terkawal bila saya hit puberty. Saya semakin membesar dan menjadi kurang yakin dengan keadaan tubuh saya sendiri. Prestasi pembelajaran saya kurang memuaskan dan saya menjadi semakin pendiam. Pada masa itu, saya lebih suka menyendiri berbanding berkawan kerana saya takut dengan kritik atau komen yang akan saya terima mengenai bentuk badan saya yang tinggi dan berisi.

Menangis sendiri di dalam bilik
Saya teringat suatu ketika saya terpilih untuk mengikut aktiviti perbarisan di sekolah. Seperti biasa, saya akan diletakkan di bahagian paling belakang. Ketika sedang latihan, beberapa budak lelaki akan tertawakan saya dan menjadikan tubuh badan saya sebagai bahan gurauan.

“Giant, giant, giant...”

Jerit seorang rakan sekelas lelaki kepada saya. Saya tertekan dengan segala komen yang saya terima dan pada ketika itu saya tercari-cari siapa yang dapat membantu saya. Kerana buntu, saya keluarkan segala yang terpendam dengan tangisan. Semakin lama, saya semakin pendiam. Banyak masa saya habiskan sendirian di rumah untuk belajar. Walaupun banyak masa saya habiskan di depan buku, prestasi saya masih juga kurang memuaskan. Hubungan saya dengan orang tua semakin renggang. Saya tidak ada tempat untuk meluah melainkan dengan menangis.

Titik perubahan yang baru
Saya tersenyum lebar membayangkan inilah masanya untuk saya buat permulaan yang baru dalam hidup saya. Pada ketika itu, saya baru tamat UPSR dan cuti sekolah itu saya banyak habiskan membayangkan apa yang saya boleh buat untuk mulakan sesuatu yang baru. Saya yakin pada masa itu saya boleh perbaiki keputusan saya.

Tahun pertama berada di Sekolah Menengah bukanlah seperti yang saya gambarkan. Keputusan saya bertambah teruk dan saya menjadi kurang yakin melihat pelajar-pelajar lain yang lebih berkeyakinan berbanding saya. Hasilnya, apa yang saya impikan tak menjadi kenyataan. Saya semakin jatuh dan jatuh.

Tingkatan 2, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke sekolah lain yang lebih hampir dengan rumah. Di sinilah, titik permulaan yang saya impikan menjadi kenyataan. Keputusan saya semakin meningkat. Saya semakin yakin pada diri dan mendapat perhatian yang tak pernah saya sangka saya akan dapat suatu hari nanti. Semakin lama saya semakin kurus. Kawan-kawan saya adalah insan yang paling saya sayang dan secara tak sedar banyak membantu proses perubahan saya. Saya bersyukur kami masih berhubung walaupun 10 tahun sudah berlalu.

Setahun berada di sekolah tersebut, saya kemudian berpindah ke sekolah lama. Keyakinan saya semakin bertambah dan semakin ramai kenalan di dalam dan di luar sekolah. Hidup saya berubah menjadi seorang yang lebih yakin dan ceria berbanding dulu.

Pentingnya berfikiran positif

“Apa yang kita bayangkan pasti akan jadi kenyataan”

Bila saya renung kembali kehidupan saya yang dulu, saya mulai sedar bahawa dari pengalaman inilah saya belajar erti keyakinan terhadap diri. Saya belajar betapa pentingnya untuk sentiasa berfikiran positif terhadap apa saja ujian yang berlaku. Keyakinan bahawa di setiap kesusahan itu pasti ada kesenangan.

Allah Maha Adil.
Tak selamanya kita akan bersedih.
Yang penting kita bersyukur dan bersangka baik dengan aturan-Nya.

Ini adalah perkongsian hidup saya yang pertama setelah sekian lama saya meninggalkan dunia blogging. Saya berharap ramai yang boleh pelajari sesuatu daripada perkongsian pengalaman hidup yang saya ini.

Teruskan hidup dan jangan pernah bersangka-sangka pada Tuhan Yang Maha Kuasa.





No comments:

Post a Comment