Friday, May 19, 2017

Bagaimana Saya Mencipta Kejayaan

Sebelum saya memiliki kejayaan yang ada sekarang, saya cumalah pelajar biasa yang bersekolah di sekolah biasa dan memiliki keputusan yang biasa-biasa saja. Ketika berada di tingkatan 4, saya pernah gagal hampir semua subjek dan pernah rasa berputus asa untuk meneruskan pengajian. Dulu saya bukanlah seorang yang suka keluar rumah dan menghabiskan masa di luar. Kebanyakan masa saya habiskan di rumah belajar tapi hasilnya tak pernah memuaskan. Kerana keputusan yang kurang cemerlang, saya pernah terfikir saya mungkin tak akan pernah capai apa yang saya impikan pada ketika itu dan impian tersebut ialah melanjutkan pengajian ke luar negara. Saya pernah mempersoalkan masa depan saya dan sejauh mana yang saya boleh pergi dalam hidup ini kerana pada masa itu fikiran saya skeptikal. Seperti anak-anak lain, saya terfikir kalau saya tak berjaya sambung belajar, macam mana saya nak dapat pekerjaan dan gaji yang selesa?

Tapi walau bagaimana teruk pun pencapaian ketika itu, tak pernah sehari saya putus daripada membayangkan impian saya. Setiap malam saya akan bayangkan saya berada di negara luar dan memakai coat putih pada musim sejuk. Saya juga akan bayangkan keadaan saya memakai jubah konvokesyen dan ibu bapa saya tersenyum bahagia. Saya akan bayangkan situasi itu seperti ianya sedang berlaku ditambah lagi dengan mainan musik yang memberi inspirasi kepada saya.


18 Disember 2014 saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Psikologi


Tahun 2014 menjadi saksi kepada pencapaian saya. Impian saya beberapa tahun yang lalu tercapai. Pada tahun tersebut saya berjaya menghabiskan pengajian dengan memakai jubah konvokesyen, sesuatu yang saya pernah ragui suatu ketika dulu. Pada tahun yang sama juga saya berjaya menurunkan berat badan dan memakai coat putih sepertimana yang saya impikan. Alhamdulillah.




Beberapa hari selepas majlis graduasi saya, saya berjaya mendaki Gunung Kinabalu. Ianya juga pernah menjadi persoalan saya suatu ketika dulu. Ketika di bangku sekolah, saya pernah diberitahu berkenaan dengan pelajar MRSM yang pernah mendaki Gunung Kinabalu. Saya merasa kagum membayangkan mereka yang masih remaja berjaya menawan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Saya pernah bertanya pada diri sendiri, bolehkah saya mendaki Gunung Kinabalu satu hari nanti? Sehinggalah pada pertengahan tahun 2014, saya mengambil keputusan untuk meneruskan impian saya tersebut dengan mengikuti ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu.

Selama tempoh hampir 6 bulan, saya banyak menghabiskan masa di Gym dan banyak melakukan aktiviti bersukan untuk meningkatkan stamina. Setiap kali berlari saya akan mendengar lagu yang membakar semangat saya dan membayangkan diri saya berada di atas puncak gunung. Walaupun saya masih tak tahu apakah penghujung kepada ekspidisi tersebut, tapi saya tak pernah berhenti dari membayangkan diri saya sudah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.


Disember 2014 saya berjaya graduate lagi sekali di atas puncak Gunung Kinabalu


Alhamdulillah Allah izinkan saya merasa melanjutkan pengajian di luar negara dan menamatkan pengajian saya sehingga ke peringkat Ijazah. Bukan itu sahaja, malah diberi rezeki untuk mendaki Gunung Kinabalu. Sebenarnya, saya sendiri tak sangka bahawa satu hari nanti apa yang saya impikan akan tercapai. Dulu saya pernah mempersoalkan tahap kemampuan diri saya, tapi bila Allah nak bagi rezeki, sampai ke Master saya diberi tawaran. Segala puji hanya bagi Allah.

Mesti ada yang tertanya-tanya apa yang saya dah lakukan sehingga berjaya mencipta kejayaan sebegini? Ayah saya pernah berkata bila kita dah berjaya, jangan biar diri sendiri menikmati kejayaan tersebut, kongsikan pada yang lain. Oleh itu, saya memilih untuk menulis kisah kejayaan saya dan berkongsi tips dan pengajaran kepada mereka yang rasa seolah-olah tiada harapan bagi diri untuk terus maju. Tips yang pertama ialah jangan tinggal solat. Bila solat, lakukannya seperti kita sedang berdating dengan Tuhan. Segala yang tersimpan di hati kita luahkan pada Dia. Sebutkan apa yang kita mahu pada Tuhan kerana Tuhan adalah sebaik-baik Pendengar. Ketika zaman belajar, saya banyak meluangkan masa dengan membaca Al-Quran dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Kadang saya sendiri rindu suasana tersebut. Bila rasa tertekan saya akan dirikan solat dengan serta merta. Perbaiki bacaan Al-Fatihah dan fahami maksudnya. Ia banyak membantu saya untuk lebih khusyuk ketika solat. Selain itu, ketika bersendirian pula perbanyakkan beristighfar. Salah satu kunci untuk rezeki yang luas ialah istighfar. Bila kita beristighfar, kita memohon ampun daripada Tuhan yang Maha Pengampun. Semakin banyak kita beristighfar, maka semakin mudah rezeki untuk menghampiri kita. Amalkan.

Seterusnya, amalkan konsep The Law of Attraction. Ramai yang tak tahu apa sebenarnya hukum tarikan? Bila dah dewasa, saya mulai faham sebenarnya sejak dibangku sekolah lagi saya sudah mengamalkan konsep ini. Hukum tarikan yang saya maksudkan ialah bayangan yang saya lakukan setiap kali sebelum tidur seperti yang saya ceritakan di awal entri ini tadi. Bila nak membuat visualisasi, lakukannya dengan penuh perasaan dan rasakan seolah-olah perkara tersebut sudah menjadi kenyataan. Ramai yang terus memandang serong bila orang Islam menyebut The Law of Attraction tetapi kenyataannya ialah ilmu mereka cetek dan yang menyedihkan ialah mereka tak mahu mengambil tahu malah terus melabel sesuatu dari barat sebagai ilmu yang terpesong. Bagi saya, segala jenis ilmu di dunia ini adalah milik Allah, datangnya dari Allah. Tetapi mana yang memesongkan aqidah jangan diikut. Mana yang dapat memperbaiki kualiti hidup kita, dalamilah.

Kejayaan tak akan boleh dipisahkan dengan hubungan baik dengan Tuhan. Dengan mendekatkan diri dengan-Nya membawa kita lebih hampir kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Bila rasa seperti seolah-olah masa depan tak cerah, jangan berputus asa. Yakin pada apa yang Tuhan mampu lakukan. Hari ini kita tak yakin tapi tunggu esok. Bila Tuhan nak tunjukkan kuasa-Nya, ketika itu baru kita akan sedar bahawa tempat pergantungan itu masih ada cuma kita saja yang kadang terlalu leka dengan dunia. Asyik bergantung pada diri sendiri sehingga lupa ada Tuhan yang lebih mampu memakbulkan doa dan impian kita. Jadi tips yang terakhir ialah tingkatkan keyakinan yang tinggi pada Tuhan.

Sebelum saya akhiri entri kali ini, saya doakan pembaca semua dipermudahkan urusan pengajian dan semoga apa yang dihajati akan tercapai. Untuk entri yang akan datang saya akan kongsikan tentang matlamat saya untuk beberapa tahun yang akan datang. Jadi nantikan bahagian kedua entri hari ini.

Kongsikan entri ini di Facebook sekiranya ia sangat bermanfaat!





Wednesday, May 17, 2017

Kolaborasi Bersama Aviimo

Exciting!

28hb April yang lepas saya diberi peluang untuk membuat kolaborasi bersama sebuah syarikat e-commerce yang semakin terkenal di pasaran. Tak lain tak bukan, mestilah AVIIMO! Saya sangat teruja apabila dihubungi seorang rakan yang saya kenali menerusi kolaborasi saya bersama Body Shop 2 tahun yang lepas. Lily menghubungi saya melalui WhatsApp dan menjelaskan pada saya berkenaan dengan tawaran dari pihak Aviimo. Sudah tentu saya jawab ya!

Sebenarnya saya sangat teruja untuk melakukan kolaborasi ini kerana Aviimo merupakan syarikat e-commerce yang berpusat di Sabah! Oleh kerana itu, tanpa ragu-ragu saya terus menerima tawaran ini dan memberi sokongan seratus peratus kepada Aviimo dengan membantu memasarkan lagi Aviimo menerusi kolaborasi ini. Sama seperti syarikat e-commerce yang lain seperti ZALORA dan FashionValet, Aviimo juga mempunyai in-house designers yang berpengalaman dalam memilih pakaian dan mereka juga menggunakan konsep yang sama iaitu perniagaan di atas talian.

Pengalaman saya melakukan photoshoot bersama team Aviimo sangat menyeronokkan! Pakaian yang disediakan juga banyak yang menarik perhatian saya. Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, sudah tentu ramai yang dah mula mencari pakaian untuk hari raya! Berita baik untuk pembaca saya, anda kini boleh membeli secara online di www.aviimo.my dan mendapatkan diskaun sebanyak 5% dengan menggunakan kod AVXIEKA!

Nak tahu apa yang saya beli dari Aviimo? Teruskan membaca.


Gambar photoshoot bersama AVIIMO bulan lepas

Shopping kini menjadi lebih mudah dengan melayari laman web AVIIMO!


Beberapa hari selepas selesai sesi photoshoot bersama AVIIMO, saya pun mencuri sedikit masa dengan melayari laman web mereka. Terlalu banyak pilihan membuatkan saya menjadi rambang mata! Akhirnya saya membeli beberapa helai pakaian dan aksesori. Yang membuatkan saya kagum dengan AVIIMO, mereka menyediakan perkhidmatan Cash On Delivery (COD)! Dan beberapa hari selepas itu saya menerima bungkusan dari mereka.


Bungkusan datang dengan greeting flyer

Long pearl necklace yang saya beli dari AVIIMO sangat cantik!

Earrings from AVIIMO


AVIIMO juga turut menyediakan ruangan untuk anda membeli peralatan Home and LivingSo tunggu apa lagi? Jom dapatkan peralatan rumah, aksesori dan pakaian terkini di www.aviimo.my dan gunakan kod AVXIEKA untuk dapatkan diskaun 5%.

Selamat bershopping!





Monday, May 15, 2017

Cara Saya Menjaga Wajah

Sangat rare topik saya kali ini. Mungkin ada yang tersenyum simpul sebab topik yang dinanti-nantikan akhirnya tiba hehe. Sebenarnya sejak zaman universiti lagi, saya menerima personal messages di Facebook dan Instagram bertanyakan tentang produk yang saya gunakan untuk kulit. Mungkin ada yang suka mengikuti perkembangan saya akan perasan perubahan kulit saya dulu dan sekarang. Jadi akhirnya saya kongsikan teknik penjagaan wajah saya untuk entri kali ini.

Saya rasa mesti ramai yang berkerut dahi bila saya sebut kulit saya dulu jenis berjerawat bukan? Mungkin sebab saya mahir dalam bidang editing dan orang tak perasan jerawat pada kulit saya. Untuk lebih adil, saya kongsikan gambar-gambar lama saya dulu ketika kulit masih berjerawat.

Bismillah...
Jangan terkejut haha.


Tahun 2010 jerawat banyak tertumpu di bahagian dahi


Sebelum saya teruskan, saya ingin memohon maaf sekiranya ada yang membanding-bandingkan jerawat saya atau terfikir jerawat saya ini tak seteruk mana pun. Sebenarnya, teruk atau tak, situasi yang kita alami tetap sama. Jerawat besar atau kecil tetap akan menganggu tahap keyakinan diri kita. Betul?

Tahun 2010 memang tahun yang menakutkan bagi saya. Kurang yakin nak berhadapan dengan orang sebab risau jerawat menjadi perhatian orang. Saya lebih selesa dan yakin berada di hadapan kamera sebab gambar boleh edit tapi realiti tak haha. Kalau nak keluar pun terpaksa cover dengan foundation.


Tahun 2012 kulit masih berjerawat dan semakin kusam

Saya mulai faham jenis kulit saya ketika berada di Tingkatan 4 (tahun 2008). Produk pertama yang saya gunakan berkesan merawat masalah jerawat saya ialah Skin Food. Pakar perunding Skin Food sempat menjelaskan pada saya tentang jenis kulit saya dan apakah punca timbulnya jerawat. Berbulan-bulan jugalah saya guna produk ini sebab sangat membantu. Tapi tak lama selepas itu Skin Food tutup dan bekalan saya pun terhenti di situ. Sedih sangat.

Tahun 2010 (dua gambar teratas) menunjukkan jerawat saya semakin bermaharaja lela di bahagian dahi. Nasib baik boyfriend duduk jauh. Long distance relationship menyelamatkan saya dari stress yang berlebihan pada ketika ini haha. Siapalah tak nak jumpa kekasih hati dalam keadaan flawless kan? Tapi bonus kalau kekasih hati boleh menerima kita seadanya. Jangan lepaskan dia! Hihi.

Baiklah, sambung semula cerita. Beberapa tahun kulit saya hidup dalam kegelapan, kusam dan tak bermaya. Tahun 2012 memang kemuncak ke-kusam-an kulit sebab pada tahun tersebut saya duduk di Australia dan cuacanya sangat mencabar kulit saya.

Tapi tak lama selepas itu...


Tahun 2013 kulit semakin cerah dan tak berjerawat lagi 

Semakin yakin memakai tudung berwarna lembut dan terang HAHA

Tahun 2015 kulit semakin sihat kerana penjagaan luaran dan dalaman yang baik


Sebenarnya, antara akhir tahun 2012 dan awal tahun 2013, saya menggunakan sebuah produk dari luar negara. Nama produk apa saya tak nak sebut sebab risau menjadi kontroversi. Nak bagi hint, produk itu agak famous jugalah suatu ketika dulu. Tujuan utama saya menggunakan produk tersebut adalah untuk menghilangkan jerawat sebab sebelum produk itu menjadi viral saya difahamkan produk itu dapat menghilangkan jerawat. Tapi saya tak sangka kesannya lebih daripada sekadar menghilangkan jerawat.

Sekadar berkongsi pengalaman. Semasa di awal penggunaan produk tersebut, saya telah mengalami pengalaman yang sangat mengerikan bagi saya. Kulit saya mengalami pengelupasan yang teruk dan pedih yang teramat terutamanya bila memakai toner. Tapi saya teruskan juga sebab menurut penjual produk tersebut, kesan yang saya alami adalah normal kerana beliau turut mengalami kesan yang sama. 3 minggu saya tak berputus asa dan cekalkan hati untuk teruskan. Alhamdulillah memang betul apa yang beliau kata. Minggu seterusnya jerawat saya hilang dan saya dapat hasil ekstra daripada menggunakan produk tersebut. Balik saja saya ke Australia, ramai yang menegur perubahan kulit saya. Ada juga yang berkongsi pengalaman yang sebaliknya sehingga terpaksa berjumpa pakar kulit untuk mengatasi masalah kulit yang dialami akibat menggunakan produk tersebut. Ada yang mengalami pengelupasan yang teruk di seluruh wajah. Pengalaman mereka lebih mengerikan. Saya ingat lagi keadaan saya ketika itu. Saya terdiam dan menyebut syukur dengan sepenuh hati kerana kesan yang saya alami tak seteruk mereka yang lain. Tak tahulah bagaimana keadaan saya sekiranya saya yang mengalami situasi yang mereka alami. Saya tak tahu kesannya boleh jadi seteruk itu. Sebenarnya, salah satu sebab saya mengelak untuk menjawab soalan yang saya terima di personal messages di Facebook tentang produk yang saya gunakan untuk kulit adalah kerana pengalaman perit yang dialami diri sendiri dan orang lain. Saya sedar kesan penggunaan produk ini adalah berbeza bagi setiap individu maka saya elakkan diri untuk menjawab. Hasil daripada pengalaman saya dan isu viral berkaitan produk tersebut membuatkan saya semakin yakin untuk berdiam diri daripada menjawab soalan-soalan berkenaan dengan produk kulit. Saya sendiri pun tak pasti jika produk tersebut selamat untuk digunakan.

Saya teruskan juga menggunakan produk tersebut selama beberapa tahun sehinggalah saya membuat keputusan untuk menukar produk. Itu pun kerana saya membaca terlalu ramai yang mengalami komplikasi pada kulit setelah menggunakan produk seperti yang saya gunakan. Pengajaran yang saya boleh kongsikan dari pengalaman ini ialah jadikan kulit yang sihat sebagai aim kita. Putih atau tak, itu semua boleh diusahakan dengan cara lain. Tak perlu gunakan cara yang akan memberi impak pada kulit kita di hari tua. Hitam manis pun tak apa, yang penting kulit sihat. Setiap manusia itu ada kecantikan yang tersendiri bukan?

Seterusnya, saya kongsikan bagaimana saya menjaga kulit wajah setiap hari. Pertama ialah dari segi pemilihan produk. Untuk kita ketahui produk yang sesuai dengan kulit kita, kita terlebih dahulu perlu membuat research tentang kulit kita. Sesetengah orang memiliki kulit yang normal, ada yang berminyak, ada juga yang kering, dan ada juga yang memiliki combination skin. Kalau nak tahu apa ciri-ciri kulit normal, berminyak, kering dan sebagainya bolehlah guna perkhidmatan Google. Once dah kenalpasti jenis kulit, baru senang nak pilih produk yang bersesuaian.

Cara penjagaan wajah:

Waktu Siang
Saya akan menggunakan pencuci muka terlebih dahulu. Setelah selesai, saya akan menggunakan toner dan moisturiser. Untuk pelembap, pilih yang mempunyai SPF untuk membantu melindungi kulit dari sinaran UV. Tujuan utama ialah untuk mengelakkan timbulnya jeragat di kemudian hari. Kemudian saya akan gunakan Seri 7 Anggun sebagai face mist saya. Seri 7 Anggun ini mempunyai pati bunga daisy yang boleh membantu mencerahkan kulit!

Waktu Malam
Ini adalah waktu yang memerlukan ekstra usaha. Setiap malam sebelum mencuci muka, saya akan gunakan cleansing oil terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk membuang kotoran minyak yang melekat pada permukaan kulit sepanjang hari. Kotoran minyak yang dibuang akan digantikan dengan minyak yang baik (daripada cleansing oil yang digunakan) untuk elakkan kulit menjadi kering. Setelah selesai menggunakan cleansing oil dan pencuci muka, saya akan menggunakan toner. Sepuluh saat selepas itu, saya akan apply serum pada kulit. Tujuannya ialah untuk merawat kulit sepanjang malam. Scrub muka pun penting untuk membuang sel kulit mati pada permukaan kulit. Gunakan sekali setiap seminggu pada waktu malam sebelum aktiviti membersihkan muka.

Kata kuncinya di sini ialah ketahui jenis kulit, pilih produk yang bersesuaian, dan gunakan teknik yang saya kongsikan di atas ini. Untuk dapatkan kulit yang sihat memerlukan ekstra usaha dan wang. Jangan kedekut! Pelaburan pada kulit itu penting kerana setiap wanita perlu belajar mencantikkan diri bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk tatapan suami atau bakal suami.

Insha'Allah di perkongsian seterusnya, saya akan kongsikan pula cara menjaga kesihatan kulit dari dalam berdasarkan pengalaman saya sendiri. Hopefully entri kali ini dapat memberi banyak manfaat kepada pembaca di luar sana! Jangan lupa share di Facebook anda.

Selamat malam.





Tuesday, April 11, 2017

Perubahan Wajah Dulu & Sekarang

Pernah tak tengok cermin dan rasa macam seolah-olah masa depan gelap gelita? Bila tengok majalah ada gambar wanita cantik rasa seperti ditampar malaikat? Aduh, pedihnya. Saya tahu perasaan itu sebab suatu ketika dulu saya pun begitu. Haha.

Entri kali ini saya akan tunjukkan secara official perbezaan wajah saya ketika di zaman sekolah, zaman kolej, zaman universiti dan zaman habis belajar. Sedikit sebanyak saya akan kongsikan masalah kulit saya di setiap gambar. Sebelum scroll ke bawah, ucap dulu Masha'Allah Tabarakallah. Semuanya atas kehendak Allah.


Tahun 2009. Zaman Sekolah.


Masa ini saya berada di Tingkatan 5. Keadaan kulit saya ketika ini sangat kusam, kerap kali menggunakan BB Cream dan mempunyai white head. Tanpa BB Cream, tak yakin nak keluar rumah. Sedih hidup diselubungi ketidakyakinan diri. Ada ke perkataan ketidakyakinan? Haha.


Tahun 2010. Zaman Kolej.


2010 adalah tahun yang mencabar bagi saya. Kulit semakin teruk dengan breakout yang semakin ketara di bahagian dahi. Dari zaman sekolah lagi saya ada masalah di bahagian T-Zone. Ketika ini, saya mula berjinak-jinak dengan foundation untuk menutup jerawat. Dengan harapan jerawat akan mengecut suatu hari nanti, tapi rupanya tersilap langkah. Jadinya, saya kurang yakin dengan keadaan wajah sendiri.


Tahun 2014. Zaman Universiti.


Gambar ini saya ada filter sikit. Tahun 2014, saya sudah mula belajar teknik penjagaan wajah dan seri dengan betul. Alhamdulillah. Semakin lama semakin yakin. Ada beberapa tips yang saya berminat untuk kongsikan dengan pembaca Blog Katahatieka. Kalau berminat nak tahu, kena like Facebook Page saya dulu untuk nantikan update seterusnya tentang tips penjagaan kulit saya!


Tahun 2015. Habis Belajar.


Sebagai seorang wanita, banyak sebenarnya yang perlu dipelajari terutama dari segi menjaga muka, penampilan diri, fizikal dan penjagaan dalaman. Terus terang saya katakan, dulu saya kurang arif tentang bab-bab menjaga muka ini. Tapi bersyukur ada adik yang suka mengkaji tentang masalah kulit dan penyelesaiannya, digabung dengan pengalaman sendiri ketika zaman sekolah dulu, hasilnya kita menjadi lebih bijak dalam memilih produk mana yang sesuai dengan kulit kita.

Kalau nak tahu apa tips penjagaan kulit saya,
kena tunggu entri yang seterusnya!





Monday, April 10, 2017

Perit dipanggil Giant

“Giant! Giant! Giant!”

______

Perit bunyinya. Ketika saya menaip pun saya masih dapat rasa perasaan yang pernah saya rasa suatu ketika dulu. Masih bermain-main di fikiran saya sehingga sekarang. Ada satu cerita yang saya tak pernah kongsi di mana-mana laman sosial saya. Tak ramai yang tahu kesedihan yang saya rasa, keperitan yang saya tanggung bertahun-tahun dan impak yang saya terima hasil daripada pengalaman hitam dalam hidup saya suatu ketika dulu.

Suatu ketika dulu merupakan kanak-kanak yang ceria
Saya berasal dari keluarga yang mempunyai dua bentuk fizikal yang berbeza. Sebelah ayah saya, kebanyakan mempunyai bentuk fizikal yang tinggi dan kurus. Manakala sebelah ibu saya, ahli keluarga kebanyakan mempunyai fizikal yang berbadan besar. Dan mungkin Allah sudah tentukan takdir saya menerima gen dari kedua-dua keluarga, maka saya membesar dengan tubuh badan yang tinggi. Tahun demi tahun, semakin saya membesar perubahan fizikal saya semakin ketara sehinggalah saya menjadi antara pelajar yang paling tinggi ketika tadika dan sekolah rendah dulu.

Emosi dibuli
Pada awalnya, saya tak tertekan dengan perbezaan fizikal saya. Bahkan saya menjalani kehidupan kanak-kanak saya dengan penuh ceria tanpa menghiraukan kata-kata orang sekeliling terhadap fizikal saya yang nampak matang berbanding usia.

“Macam indung jelama...”

Mungkin ada yang tak familiar dengan maksud indung jelama yang menggambarkan seseorang yang berusia muda tetapi memiliki susuk tubuh seperti wanita dewasa. Indung adalah bahasa Brunei yang bermaksud ibu. Panggilan ini adalah antara panggilan yang saya sering terima sejak saya kanak-kanak lagi. Kadang saya rindu ketika saya masih kecil dan tak mengerti apa maksud indung jelama. Bila ada yang berkata demikian, saya hanya tersenyum dan tak memahami apa yang dimaksudkan.

Tapi saya harus berpijak pada kenyataan bahawa dunia akan terus berputar dan kehidupan akan terus berjalan. Semakin saya membesar, saya mulai faham apa yang dimaksudkan dengan kata-kata indung jelama yang pernah disebutkan dulu. Dari kanak-kanak yang ceria, saya berubah menjadi pendiam. Semakin lama, saya semakin suka bersendiri hanya kerana ingin mengelak dari mendengar komen seperti itu. Saya teringat, dulu sebelum saya memahami maksud perkataan tersebut, saya gembira dan cinta pada diri saya. Membeli belah sempena raya itulah saat yang paling saya nanti-nantikan kerana saya dapat mencuba fesyen remaja terkini walaupun pada ketika itu saya baru berada di sekolah rendah.

Ketika saya berada di Tahun 4, saya mulai rasa tekanan yang amat dalam hidup saya ketika itu. Kawan-kawan lelaki akan mengejek saya dengan panggilan giant dan saya seringkali berada di barisan paling belakang. Keadaan bertambah tak terkawal bila saya hit puberty. Saya semakin membesar dan menjadi kurang yakin dengan keadaan tubuh saya sendiri. Prestasi pembelajaran saya kurang memuaskan dan saya menjadi semakin pendiam. Pada masa itu, saya lebih suka menyendiri berbanding berkawan kerana saya takut dengan kritik atau komen yang akan saya terima mengenai bentuk badan saya yang tinggi dan berisi.

Menangis sendiri di dalam bilik
Saya teringat suatu ketika saya terpilih untuk mengikut aktiviti perbarisan di sekolah. Seperti biasa, saya akan diletakkan di bahagian paling belakang. Ketika sedang latihan, beberapa budak lelaki akan tertawakan saya dan menjadikan tubuh badan saya sebagai bahan gurauan.

“Giant, giant, giant...”

Jerit seorang rakan sekelas lelaki kepada saya. Saya tertekan dengan segala komen yang saya terima dan pada ketika itu saya tercari-cari siapa yang dapat membantu saya. Kerana buntu, saya keluarkan segala yang terpendam dengan tangisan. Semakin lama, saya semakin pendiam. Banyak masa saya habiskan sendirian di rumah untuk belajar. Walaupun banyak masa saya habiskan di depan buku, prestasi saya masih juga kurang memuaskan. Hubungan saya dengan orang tua semakin renggang. Saya tidak ada tempat untuk meluah melainkan dengan menangis.

Titik perubahan yang baru
Saya tersenyum lebar membayangkan inilah masanya untuk saya buat permulaan yang baru dalam hidup saya. Pada ketika itu, saya baru tamat UPSR dan cuti sekolah itu saya banyak habiskan membayangkan apa yang saya boleh buat untuk mulakan sesuatu yang baru. Saya yakin pada masa itu saya boleh perbaiki keputusan saya.

Tahun pertama berada di Sekolah Menengah bukanlah seperti yang saya gambarkan. Keputusan saya bertambah teruk dan saya menjadi kurang yakin melihat pelajar-pelajar lain yang lebih berkeyakinan berbanding saya. Hasilnya, apa yang saya impikan tak menjadi kenyataan. Saya semakin jatuh dan jatuh.

Tingkatan 2, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke sekolah lain yang lebih hampir dengan rumah. Di sinilah, titik permulaan yang saya impikan menjadi kenyataan. Keputusan saya semakin meningkat. Saya semakin yakin pada diri dan mendapat perhatian yang tak pernah saya sangka saya akan dapat suatu hari nanti. Semakin lama saya semakin kurus. Kawan-kawan saya adalah insan yang paling saya sayang dan secara tak sedar banyak membantu proses perubahan saya. Saya bersyukur kami masih berhubung walaupun 10 tahun sudah berlalu.

Setahun berada di sekolah tersebut, saya kemudian berpindah ke sekolah lama. Keyakinan saya semakin bertambah dan semakin ramai kenalan di dalam dan di luar sekolah. Hidup saya berubah menjadi seorang yang lebih yakin dan ceria berbanding dulu.

Pentingnya berfikiran positif

“Apa yang kita bayangkan pasti akan jadi kenyataan”

Bila saya renung kembali kehidupan saya yang dulu, saya mulai sedar bahawa dari pengalaman inilah saya belajar erti keyakinan terhadap diri. Saya belajar betapa pentingnya untuk sentiasa berfikiran positif terhadap apa saja ujian yang berlaku. Keyakinan bahawa di setiap kesusahan itu pasti ada kesenangan.

Allah Maha Adil.
Tak selamanya kita akan bersedih.
Yang penting kita bersyukur dan bersangka baik dengan aturan-Nya.

Ini adalah perkongsian hidup saya yang pertama setelah sekian lama saya meninggalkan dunia blogging. Saya berharap ramai yang boleh pelajari sesuatu daripada perkongsian pengalaman hidup yang saya ini.

Teruskan hidup dan jangan pernah bersangka-sangka pada Tuhan Yang Maha Kuasa.